CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, September 3

Azizi Hj. Abdullah: Sasterawan Negara yang dinafikan

Entri ini ditulis pada 21 Ogos 2011, tak lama selepas diberitakan bahawa cikgu Azizi meninggal dunia akibat komplikasi jantung. 

Aku tak tahu apa lagi sebab cikgu Azizi tak layak diiktiraf sebagai Sasterawan Negara (SN), melainkan kerana dia tak sealiran dengan kerajaan yang memerintah sekarang. Bukan untuk menidakkan kelayakan SN-SN yang lain, tapi sewaktu S.Othman Kelantan, Anwar Ridhwan & kemudiannya Kemala dinobatkan sebagai SN, aku jadi pelik, hebat apanya karya mereka berbanding dengan cikgu Azizi? Ya, mungkin kerana kelayakan akademik mereka lebih (agaknyalah), tapi kalau karya-karyanya tak menjalar ke hati & sanubari rakyat, tak guna jugak. Sewaktu Datuk Abdullah Hussain menjadi SN pada 1996 (yang ni kelayakan akademiknya tak seberapa), aku merasakan beliau macam tak berapa layak untuk jadi SN. (Setelah ditabalkan sebagai SN aku telah membaca karya-karyanya satu demi satu tapi aku boleh kata yang betul-betul mengesankan cuma Imam sahaja, Interlok, Masuk ke Dalam Cahaya & Konserto Terakhir secara peribadi aku rasa agak bosan).

Mungkin itulah harga yang perlu cikgu Azizi bayar kerana mempertahankan pandangan politiknya. Kalau dia 'bersabar' & jadi macam Pak Samad atau Pak Shahnon, ya barangkali gelaran SN sudah dipegang olehnya.

Kawin-Kawin, Seorang Tua di Kaki Gunung, Sangeetha, Beruk, Harga Sebuah Maruah, Tukcai, Ayahanda merupakan antara novel-novel cikgu Azizi yang sempat aku jamah & betapa aku kagum dengan usaha prolifiknya menulis, sama ada diiktiraf atau pun tidak. Kebetulan pula kebanyakan karyanya memenangi pelbagai hadiah, justeru bila dah menang macam-macam pun masih belum layak jadi SN, siapa yang tak pelik ye tak? Namun siapalah aku untuk menilai.

Dengan cikgu Azizi, aku belajar erti sarkastik dalam penulisan (bukanlah aku ni seorang penulis pun). Samad Said lebih kepada santun halus dalam mengibaratkan sesuatu, Shahnon Ahmad pula keras tegas dalam memberi tamsilan. Satu lagi kelebihan cikgu Azizi, satiranya memukau juga. Novel seserius Kawin-Kawin pun aku boleh tergelak lewat frasa seret kulai, seret kulai.

Almarhum cikgu Azizi pergi meninggalkan kita dengan dijemput Ilahi pada bulan Ramadan. Itu merupakan penghargaan Ilahi yang jauh lebih tinggi daripada anugerah SN.

Terima kasih cikgu kerana ilmu & ibarat yang diberikan.

Al-fatihah.

0 comments:

Post a Comment